Kastam Sabah Rampas Rokok Bernilai Lebih RM3 Juta Termasuk Cukai

28/10/2024 07:12 PM

KOTA KINABALU, 28 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah telah merampas 214,000 bungkus rokok bernilai lebih RM3 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah stor di Penampang bulan lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Siti Mang berkata rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM428,000 manakala cukai yang terlibat berjumlah RM2.86 juta.

Beliau berkata kira-kira 5 petang 26 Sept lepas, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai JKDM daripada Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu melakukan serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Hubah, Penampang.

“Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah rokok yang disyaki tidak berkastam disimpan dalam premis itu. Rokok merupakan barang larangan yang pengimportan dibenarkan hanya dengan syarat berdasarkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Modus operandi kegiatan ini menjadikan stor yang tidak berpenghuni sebagai tempat penyimpanan barang-barang yang tidak berkastam dan kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambah beliau, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan kegiatan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan