KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Orang ramai diminta tidak terperdaya dengan individu yang menyamar Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi aplikasi WhatsApp.
Ayob Khan berkata individu yang menyamar sebagai beliau dengan mewujudkan kumpulan sembang menerusi aplikasi WhatsApp adalah tidak diketahui tujuannya.
"Saya dihubungi oleh kawan-kawan mengatakan saya ada nombor baru walhal saya hanya menggunakan satu nombor sahaja. Saya tidak pasti tujuan sebenar individu itu menyamar sebagai saya.
"Dalam perkara ini, pihak saya telah membuat laporan polis dan kertas siasatan juga telah dibuka. Insya-Allah kita akan mengesan individu yang menyamar sebagai saya," katanya.
Ayob Khan berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
"Saya tiada masa hendak layan benda-benda renyah sebegini kerana saya banyak lagi urusan kerja lain. Jika berfikir secara waras orang percaya bahawa WhatsApp yang menggunakan nama saya itu palsu," katanya.
Pada 21 Okt lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilapor berkata pihaknya sedang mengesan individu yang menyamar sebagai Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, individu berkenaan dikesan melakukan penyamaran itu dalam satu kumpulan sembang aplikasi WhatsApp yang dinamakan Friendship Group.
Sementara itu, Ayob Khan meminta semua Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara memperkemaskan isu integriti, rasuah dan tatakelola PDRM.
Beliau berkata semua pegawai dan anggota polis perlu membuang amalan rasuah kerana ia hanya mencemarkan imej PDRM, selain merosakkan kepercayaan masyarakat kepada PDRM.
"Amalan rasuah ini perlu dibanteras habis-habisan dan jangan dijadikan amalan dalam PDRM dan kita perlu yakin untuk membuat perubahan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial