Polis Tahan Dalang Sindiket Seludup Dadah Bernilai Lebih RM160,000

29/10/2024 05:23 PM

MELAKA, 29 Okt (Bernama) -- Seorang buruh warga Indonesia dipercayai dalang sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi jalan laut ditahan menerusi Op Tapis, semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira 5.50 pagi, ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis syabu bernilai RM161,696 di pesisir pantai di Kota Syahbandar di sini.

"Ketika ditahan, suspek dipercayai dalam percubaan menyeludup dadah disyaki syabu itu yang diperoleh dari selatan Thailand ke Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata syabu dirampas dengan anggaran berat 5,053 gram itu diisi dalam lima paket lutsinar yang ditemukan di dalam beg galas dibawa suspek.

Zainol berkata siasatan awal mendapati warga Indonesia itu merupakan sebahagian rangkaian penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini yang bergerak aktif sejak pertengahan September. 

“Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 25,265 penagih dadah dan ujian air kencing dijalankan terhadap lelaki itu adalah negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah.

“Suspek direman selama tujuh hari hingga 3 Nov depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan