Maki Polis Di TikTok, Lelaki Warga Asing Positif Dadah Ditahan

29/10/2024 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki warga asing disyaki mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun polis menerusi satu hantaran TikTok, ditahan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki berusia 30-an itu, diberkas  berhampiran Jalan Pandan 2/3 Pandan Jaya, Ampang di sini kira-kira 7 petang, dua jam selepas dikesan membuat hantaran berkenaan.

Beliau berkata polis mengesan video TikTok berdurasi 45 saat yang dimuat naik melalui akaun ‘theintheinzaw403’, untuk memburukkan polis dan mendapat 160,000 tontonan pada 5 petang semalam. 

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perintah reman selama empat hari hingga 1 Nov ini diperoleh pihaknya ke atas lelaki itu untuk siasatan lanjut, yang dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan pada pihak polis ketika tangkapan hendak dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata suspek juga disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan