Pengurus Kafe Ikhwan Didakwa Empat Pertuduhan Perdagang Manusia

30/10/2024 08:51 PM

KOTA TINGGI, 30 Okt (Bernama) -- Seorang pengurus Kafe Ikhwan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kluang, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan manusia bagi maksud eksploitasi kerja paksa, sejak Mei lepas.

Mohamad Suhaimi, bersama-sama dua individu yang telah dituduh dan dua yang masih bebas, didakwa dengan niat bersama memperdagangkan empat individu termasuk tiga wanita berumur 30 hingga 57 tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.

Perbuatan itu dilakukan di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, dekat sini, sejak Mei hingga 1 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zahier Rosli.

Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan membenarkan Mohamad Suhaimi diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa, melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan ikat jamin berkenaan selepas Ahmad Khairuddin mengesahkan bahawa tertuduh tidak lagi tertakluk di bawah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Mahkamah turut menetapkan 28 Nov untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Terdahulu pagi tadi, Mohamad Suhaimi serta Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri Azura Md Yusof yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan serta-merta di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Dalam permohonan itu, ketiga-tiga pemohon memohon satu perintah writ habeas corpus dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini bagi membebaskan mereka daripada tangkapan dan penahanan tidak sah oleh pihak responden.

Mohamad Suhaimi menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga manakala Nasiruddin dan Azura menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga kelima.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan