Kibar Bendera Asing: Polis Rakam Percakapan 3 Individu

31/10/2024 04:04 PM

JOHOR BAHRU, 31 Okt (Bernama) -- Polis telah merakam percakapan tiga individu berkaitan penganjuran satu upacara perarakan agama peringkat antarabangsa di Taman Sentosa di sini yang telah mengibarkan bendera negara asing pada 20 Okt lepas.

Ketua Polis Johor CP Datuk M Kumar berkata polis juga telah menghubungi penganjur upacara berkenaan yang kini berada di Bangkok untuk pulang dan memberi keterangan.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh polis sendiri pada 28 Okt. Siasatan dibuat di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau memberitahu media selepas menghadiri Program Community Policing Sempena Hari Deepavali 2024 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. 

Turut hadir Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Kumar berkata pihak penganjur tidak memohon permit daripada polis kerana upacara berkenaan dianjurkan di kawasan tertutup, tetapi telah mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Johor Bahru.

“Namun untuk makluman, pengawasan polis ada untuk memantau perarakan itu. Pengibaran bendera tidak di jalan raya, (dan) bukan masa perarakan tetapi di dalam bangunan (pusat beli-belah) Sentosa itu,” katanya.

Beliau berkata perarakan berkenaan turut disertai peserta dari luar negara.

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata polis membuka kertas siasatan berkaitan insiden tular pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu upacara perarakan agama peringkat antarabangsa di Sentosa di sini minggu lepas.

Terdahulu, tular di aplikasi X pemilik akaun bernama Salim Iskandar yang memaparkan insiden pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu upacara perarakan agama peringkat antarabangsa berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan