KUANTAN, 1 Nov (Bernama) -- Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dalam penjualan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard bulan lepas.
Mohamad Lokman Suardi, 33, dari Kuala Krau, Temerloh, didakwa telah memperdayakan seorang individu dengan mengiklankan penjualan kereta terbabit dengan nombor pendaftaran palsu yang tidak mempunyai geran sah sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM25,150 kepadanya.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Taman Aneka Jaya di sini, kira-kira pukul 10 malam pada 5 Okt lepas. Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Hafidza Baharudin yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan itu dikurangkan memandang Mohamad Lokman hanya berpendapatan RM1,400 sebulan dan perlu menanggung enam anak serta bapa yang lumpuh.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta 29 Nov untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial