Polis Keluar 276 Saman Kepada Penunggang Motosikal Bawah Umur

02/11/2024 07:48 PM

PADANG BESAR, 2 Nov (Bernama) -- Sebanyak 276 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan pihak polis daerah Padang Besar terhadap penunggang motosikal bawah umur yang berusia antara 13 tahun hingga 16 tahun bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata statistik itu menunjukkan peningkatan 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang hanya mencatatkan 206 saman melibatkan penunggang motosikal bawah umur.

"Antara kesalahan trafik yang kita dapati daripada mereka bawah umur ini ialah menunggang motosikal tanpa lesen, tidak memakai topi keledar dan pengubahsuaian motosikal," katanya kepada Bernama pada Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Turut hadir sama Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.

Mohd Shokri berkata bagi mendidik golongan bawah umur mengenai keselamatan jalan raya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya turut mengadakan 'Op Didik' dengan melaksanakan ceramah advokasi kepada pelajar sekolah menengah di sekitar Padang Besar.

"Pada mulanya, kami memberikan ceramah advokasi kepada pelajar dan selepas dua bulan, pemeriksaan akan dijalankan. Sekiranya pelajar didapati melanggar peraturan, tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.

Mohd Shokri berkata tindakan akan diambil terhadap terhadap ibu bapa yang membenarkan anak-anak bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987.          

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan