Lambakan Warga Asing: Polis Pantau Rapat Sg Buloh, Kuala Selangor Dan Ampang

04/11/2024 08:26 PM

KUALA LANGAT, 4 Nov (Bernama) -- Polis Selangor memantau rapat kawasan Sungai Buloh, Kuala Selangor dan Ampang berikutan lambakan warga asing di kawasan itu yang mencetuskan kekhuatiran dalam kalangan penduduk.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya juga sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan keberadaan warga asing di kawasan berkenaan serta di daerah-daerah lain di negeri itu terkawal dan ketenteraman awam terjamin.

"Kita dalam proses untuk melaksanakan operasi di kawasan yang dikenal pasti ada lambakan warga asing yang kita sangsi keberadaan mereka di situ.

“Kita kini bekerjasama rapat dengan pihak Imigresen… akan ada beberapa operasi yang akan dilakukan di kawasan terbabit," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di Pandan Mewah, Ampang meluahkan kebimbangan terhadap lambakan warga asing di kawasan itu yang dikhuatiri boleh mengundang pelbagai isu termasuk jenayah.

Terdahulu, Hussein menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat kepada DSP Mohd Sufian Amin sebagai pemangku jawatan itu menggantikan ACP Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh yang kini dilantik sebagai Penolong Pengarah D7 (Bahagian Gangsterism) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Mengulas mengenai persediaan polis berhubung Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku lebih awal kali ini, Hussein berkata pihaknya dalam keadaan siap siaga dari segi sumber manusia dan aset. 

"Baru-baru ini pun kerajaan negeri ada beri kita khemah yang lengkap, bagi Selangor kita dah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan MTL ini, sama ada banjir atau tanah runtuh," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan