Pandu Secara Melulu Dan Berbahaya Kesalahan Tertinggi Sepanjang Deepavali

05/11/2024 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Memandu secara melulu dan berbahaya merupakan kesalahan tertinggi yang telah menyumbang kepada kebanyakan kes kemalangan maut sepanjang perayaan Deepavali lepas. 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 6,013 kes kemalangan dengan 60 kematian direkodkan sepanjang sambutan Deepavali selama empat hari bermula 31 Okt lepas. 

"JSPT telah melaksanakan 388 operasi di seluruh negara dan menahan 97 individu atas pelbagai kesalahan serta menyita 647 kenderaan. 

"91 tangkapan telah dibuat membabitkan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987; diikuti kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (3); Kanun Keseksaan (2) dan lain-lain (1)," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan pengarah JSPT Bukit Aman di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga telah menjalankan 119 Op Samseng Jalanan sepanjang tempoh berkenaan dan membuat 45 tangkapan bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987, kesalahan nombor pendaftaran kenderaan palsu/fansi (2), lain-lain tangkapan (4) serta 328 motosikal disita. 

Dalam pada itu, Yusri berkata jumlah kemalangan membabitkan motosikal menunjukkan penurunan sebanyak 10.01 peratus dengan 2,461 kes direkodkan dari 12 Ogos sehingga 12 Sept lepas, berbanding 2,735 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya. 

"Begitu juga kemalangan maut yang menunjukkan penurunan 113 kes atau 26.03 peratus iaitu 321 kes tahun ini berbanding 434 kes dalam tempoh sama tahun lepas. 

"Jumlah kematian membabitkan penunggang dan pembonceng pula menurun kepada 324 kematian berbanding 436 kematian tahun lepas," katanya.

Justeru, beliau berkata JSPT akan meneruskan operasi dan tangkapan dalam menangani isu peningkatan kes kematian akibat kemalangan, terutama penunggang dan pembonceng motosikal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan