Kita Gempur: KPDN Pulau Pinang Rekod 121 Kes Dengan Nilai Rampasan Lebih RM100,000

08/11/2024 09:52 AM

PERMATANG PAUH, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merekodkan 121 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM100,919.80 sejak pelancaran gerak kerja Kita Gempur pada 19 Okt lepas.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata menerusi pemeriksaan terhadap 3,239 premis di sekitar Pulau Pinang itu, kompaun RM18,600 turut dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.

“KPDN negeri juga telah mengeluarkan 121 Notis Bertulis (NB) kepada peniaga pada pelbagai peringkat rantaian pengedaran perniagaan bagi menjalankan analisis, menyiasat dan mengenal pasti sekiranya berlaku aktiviti mencatut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Semalam, KPDN Pulau Pinang membuat pemeriksaan mengejut di beberapa premis perniagaan runcit dan syarikat pembungkusan minyak masak di sekitar Permatang Pauh dalam usaha membanteras ketirisan barang kawalan dan bersubsidi bagi memperluas gerak kerja Kita Gempur.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh turut turun padang dalam pemeriksaan itu bagi memantau sendiri aktiviti yang dijalankan di premis-premis terbabit.

Jegan berkata ketika serbuan dijalankan di premis perniagaan di sekitar Taman Arowana, Seberang Jaya di sini, seorang warga asing yang berurus niaga menjual barangan runcit didapati gagal mengemukakan lesen runcit barang kawalan berjadual yang dikeluarkan oleh KPDN.

“Pasukan serbuan telah bertindak menyita sejumlah barang kawalan berjadual, iaitu gula, minyak masak serta tepung gandum dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dan menambah Kita Gempur kemudian diteruskan ke syarikat pembungkusan minyak masak di Permatang Pauh.

Beliau berkata pihak industri disarankan agar melaporkan kepada KPDN dengan segera sekiranya jenama mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya bagi mengelak ketirisan barang kawalan berjadual.

Inisiatif Kita Gempur ialah langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

Kita Gempur dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Okt dalam usaha menangani ketirisan, di samping memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan