KUALA TERENGGANU, 8 Nov (Bernama) -- Seorang pelajar berusia 17 tahun maut selepas ditimpa bahan binaan di sebuah lot kedai, di pusat beli-belah di sini pada Rabu lepas.
Menurut kenyataan Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika mangsa yang bekerja sambilan sedang mengangkat bahan-bahan binaan untuk dipindahkan ke lot kedai yang sedang diubah suai menggunakan troli.
Bagaimanapun, kerangka troli yang diubah suai itu patah menyebabkan bahan binaan jatuh menghempap mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
"Pihak JKKP telah hadir ke pusat beli-belah terbabit semalam untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Notis Larangan (NOP) dikeluarkan kepada kontraktor terlibat disebabkan kegagalan menyediakan kaedah selamat bagi kerja-kerja memunggah dan memindah barangan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, siasatan lebih lengkap dan terperinci akan dijalankan bagi tujuan tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan orang awam atau pekerja. Majikan dan pekerja bertanggungjawab mengenal pasti dan membuat penilaian risiko terhadap bahaya di tempat kerja.
"Langkah kawalan risiko berkesan perlu diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kesihatan terhadap pekerja sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial