Zulkafli Pangku Tugas Ketua Polis Perak Berkuat Kuasa Hari Ini

08/11/2024 03:22 PM

IPOH, 8 Nov (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat memangku tugas Ketua Polis Perak berkuat kuasa hari ini.

Zulkafli mengambil alih tugas berkenaan daripada Datuk Azizi Mat Aris yang bersara wajib selepas memegang jawatan itu sejak 16 Julai lepas. 

Majlis serah terima tugas itu diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. 

Pada majlis itu, turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak antara isteri Azizi, Datin Wanita Wari kepada isteri Zulkafli, Zaleta Ibrahim yang akan memangku tugas berkenaan.

Azizi yang sudah berkhidmat dalam polis sejak 5 April 1987, dalam ucapannya berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak kerana memberikan kerjasama yang baik selama beliau menjadi Ketua Polis Perak.

"Amanah tanggungjawab yang diberikan telah pun saya terjemahkan dengan prestasi setakat mana yang saya mampu dalam tempoh yang amat singkat ini, terutamanya memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan berada di landasan. 

"Semua usaha ini berpaksikan kepada komitmen yang ditunjukkan oleh ketua jabatan dan ketua polis daerah yang telah bersama-sama saya memastikan segala perancangan gerak kerja dapat digerakkan dan direalisasikan dengan sempurna," kata Azizi. 

Sementara itu, Mohd Shuhaily dalam ucapannya berkata persaraan Azizi merupakan satu kehilangan besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

"Saya yakin Zulkafli mampu memangku tugas berkenaan berdasarkan pengalaman dimilikinya dan mengucapkan terima kasih atas jasa Azizi selama berkhidmat dalam PDRM," katanya. 

Azizi yang juga anak kelahiran Kati, Kuala Kangsar sebelum ini menggalas tugas Timbalan Ketua Polis Perak bermula 8 Nov 2021 dan mempunyai pengalaman selama 37 tahun dalam pasukan polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan