Penolong Pegawai IT Rugi Lebih RM153,000 Terperdaya Pelaburan Tidak Wujud

08/11/2024 05:03 PM

KUANTAN, 8 Nov (Bernama) -- Seorang penolong pegawai teknologi maklumat (IT) di sebuah agensi kerajaan kerugian lebih RM153,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 45 tahun itu mendakwa terlibat dengan penipuan pelaburan berasaskan bitcoin setelah mengenali seorang individu menerusi aplikasi Tinder.

Beliau berkata mangsa telah ditawarkan peluang pelaburan dengan pulangan bonus 45 peratus sekiranya melabur sebanyak RM100,000.

“Lelaki itu telah tertarik dengan tawaran tersebut setelah memperolehi keuntungan pelaburan daripada dua transaksi awal.

“Namun, selepas melabur keseluruhan wang berjumlah lebih RM153,000 dengan melakukan lapan transaksi ke akaun diberikan antara 28 Okt hingga Rabu lepas, akaun pelaburan mangsa telah disekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata susulan itu mangsa yang menggunakan wang simpanan dan pinjaman peribadi untuk melabur tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan dijanjikan dan mengesyaki dirinya telah ditipu, justeru membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan