KPDN Lupus Barang Tiruan Bernilai Lebih RM600,000

08/11/2024 07:04 PM

NILAI, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  melupuskan pelbagai barangan tiruan berjumlah RM631,141 bagi tahun 2022 hingga 2024.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Aris Mamat berkata pelupusan itu membabitkan 43 kes rampasan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan sejak tiga tahun lepas. 

"Antara barang tiruan dilupuskan ialah baju, kasut, arak, dakwat pencetak, alat ganti kenderaan, minyak wangi dan lain-lain," katanya kepada pemberita di Kompleks Penyimpanan Ekshibit, Bahagian Penguat Kuasa KPDN di sini hari ini.

Beliau berkata barangan rampasan berkenaan membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019, dan Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Aris berkata terdapat beberapa kaedah pelupusan digunakan antaranya lucut hak milik dan dimusnahkan berikutan barangan itu tidak boleh dipulangkan semula kepada pemilik. 

"Pelupusan hari ini dilaksanakan melalui mesin pemusnah. Barang dimusnahkan ini telah selesai urusan mahkamah iaitu sebelum ini dirampas di pelbagai peringkat perniagaan bermula daripada peruncit, pemborong seterusnya terhadap pengeluar. 

"Bukan sahaja barang tiruan, ada antara barang dirampas ini tidak mengikut standard ditetapkan SIRIM selain turut dikesan menggunakan skim piramid dengan menyalahgunakan lesen jualan langsung," katanya. 

Aris berkata barang tiruan dan tidak mengikut spesifikasi SIRIM seperti produk kecantikan dan komponen kenderaan dibimbangi memberikan mudarat kepada pengguna. 

Beliau turut menyeru semua pihak menyokong pelaksanaan inisiatif Kita Gempur dilancarkan pada 19 Okt lepas bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan