Ketua Polis Johor Nafi Bersara Susulan Video Tular

09/11/2024 10:31 AM

JOHOR BAHRU, 9 Nov (Bernama) -- Ketua Polis Johor CP Datuk M Kumar menafikan akan bersara seperti yang ditularkan menerusi video di media sosial.

Beliau berkata penyebaran berita palsu itu sesuatu yang serius dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam menyebarkan maklumat tidak benar mengikut penguatkuasaan undang-undang.

Kumar berkata video tular di TikTok berkaitan persaraannya adalah tidak benar serta tidak berasas, kerana beliau masih menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti biasa dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terjaga.

“Polis Johor mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebarang maklumat rasmi berkaitan perubahan dalam kepimpinan Polis Diraja Malaysia hanya diumumkan melalui saluran rasmi agensi itu.

Terdahulu, tular video memaparkan Kumar menghadiri majlis bagi meraikan pesara dan bakal pesara di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah, di negeri Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan