Penghantar Tumbuhan Ditahan Seludup Lebih 1,000 Anak Pokok Dari Negara Jiran

10/11/2024 09:28 AM

KOTA BHARU, 10 Nov (Bernama) -- Seorang penghantar tumbuhan ditahan polis kerana disyaki menyeludup 1,296 pelbagai spesis anak pokok dari Thailand dianggarkan bernilai RM134,500 dalam Operasi Taring Wawasan, semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata kesemua anak pokok itu ditemukan dalam sebuah lori dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kampung Parit Air, Rantau Panjang.

Beliau berkata suspek warga tempatan berusia 30 tahun itu ditahan pada 1.30 tengah hari dan dipercayai kesemua anak pokok berkenaan adalah untuk pasaran tempatan.

"Hasil pemeriksaan pada lori itu, PGA menemukan 700 anak pokok bidara, 298 pokok longan, 200 pokok jambu muda dan 98 pokok jenis Buchida Batik dipercayai dibawa tanpa dokumen yang sah. 

"Kes ini disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5 manakala kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, PGA menahan seorang lelaki warga Myanmar di Kampung Mentua, Tumpat dalam operasi sama pada Jumaat lepas.

Nik Ros Azhan berkata pendatang tanpa izin berkenaan ditahan pada 6.50 petang kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah. 

Menurutnya, lelaki itu dipercayai masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

Beliau berkata suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan