Pusat Hiburan Tawar Khidmat GRO Berbaju Tidur Diserbu

10/11/2024 10:27 AM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Sebuah pusat hiburan disyaki menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing berbaju tidur seksi terbongkar dalam serbuan di Jalan Pudu, di sini tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata dalam Ops Gegar #KLStrikeForce pada 12.45 tengah malam itu, sebanyak 72 wanita warga asing melibatkan 61 dari Thailand, Vietnam (10) dan seorang warga Laos ditahan. 

Beliau berkata turut ditahan sembilan warga tempatan yang berperanan sebagai penjaga dan pengurus premis serta seorang lelaki kerana cuba menghalang tugas pegawai Imigresen.

“Operasi melibatkan 29 anggota dan pegawai dari JIM Kuala Lumpur manakala semua yang ditahan  berumur antara 23 dan 58 tahun,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan yang tamat pada 3 pagi ini.

Beliau berkata pihaknya bertindak selepas menerima aduan daripada orang ramai dan premis berkenaan juga didapati menyediakan selempang bernilai RM100 hingga RM5,000 untuk diberikan pelanggan kepada GRO berdasarkan layanan diterima.

Beliau berkata warga asing yang diperiksa didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15 dan  Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana pas tamat tempoh dan tinggal lebih masa.

Penjaga serta pengurus premis disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta sama kerana melindungi pendatang tanpa izin dan semua yang ditahan dihantar ke Pejabat JIM Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan