KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Siasatan kes beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang selepas proses kutipan dilakukan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point telah selesai.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata dua pengawal keselamatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes turut dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
“Kertas siasatan sedang dikemas kini dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rabu lepas dua pengawal keselamatan masing-masing berusia 52 dan 38 tahun ditahan pada 10 malam selepas beg berisi wang tunai berkenaan dilaporkan hilang pada hari sama di sekitar kawasan Ampang Point.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Beg berkenaan dilaporkan hilang pada 3.55 petang sebelum ditemukan di tengah laluan di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur oleh orang awam pada hari kejadian.
Kedua-dua suspek dipercayai bertugas membuat kawalan menaiki van keselamatan yang membawa beg berisi wang tunai berjumlah RM1,071,000 pada hari kejadian, dan beg itu dipercayai terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui kawasan selekoh di laluan berkenaan.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial