KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga asing berusia 50 tahun antara empat individu yang ditahan kerana disyaki menawarkan khidmat seks dalam serbuan Op Noda di sekitar Bukit Bintang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kesemua yang ditahan itu tiada dokumen pengenalan diri dan disyaki masuk ke negara ini sebagai pelancong, untuk menjalankan kegiatan pelacuran secara sendiri.
“Dalam serbuan kira-kira 11.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu, empat wanita dari Iran, Uzbekistan dan Thailand yang berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun, telah ditahan.
“Mereka disyaki mendekati pelanggan di jalan-jalan sekitar dan selepas kedua-dua pihak bersetuju mengenai harga, pelanggan dibawa ke bilik hotel yang disewa wanita berkenaan di Bukit Bintang dan kegiatan bermula dari 5 petang hingga 3 pagi,” katanya ketika dihubungi.
Sulizmie Affendy berkata wanita yang ditahan disyaki menyasarkan warga asing dan pelanggan tetap dengan bayaran RM100 bagi sekali perkhidmatan.
Beliau berkata antara yang dirampas dalam serbuan berkenaan ialah wang tunai RM3,720 dan US$150, empat telefon bimbit, anak kunci, kad bilik hotel dan peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pelacuran.
“Kesemua yang ditahan telah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial