IPOH, 11 Nov (Bernama) -- Dua lelaki termasuk seorang mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut dalam kemalangan berasingan di Bota serta Taiping, malam tadi dan awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam insiden malam tadi, penuntut berusia 19 tahun itu maut selepas kereta dinaiki bersama tiga rakannya terlibat nahas di Persiaran Seri Iskandar Prima 1, Bandar Seri Iskandar, Bota.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.19 malam sebelum 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar bergegas ke lokasi kemalangan dan mendapati sebuah kereta Perodua Bezza terbabas di bahu jalan.
"Mahasiswa itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) manakala tiga lagi yang juga mahasiswa UTP cedera ringan, dan dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi tadi pula, Sabarodzi berkata seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya terbabas ke dalam longkang di Jalan Kota Taiping.
Beliau berkata anggota BBP Taiping tiba di lokasi nahas empat minit selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.11 pagi dan mendapati selain pemandu, terdapat seorang lagi wanita berusia 56 tahun yang juga isteri mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan mengalamai kecederaan di dada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial