GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Lima sekawan yang aktif menjalankan kegiatan memproses dan mengedar dadah ditahan, selain pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta dirampas dalam tiga serbuan serentak yang dijalankan di sekitar negeri ini pada 6 Nov lepas.
Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira 9.50 malam itu turut berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah yang berselindung di sebalik sebuah rumah teres satu tingkat yang disewa.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan di rumah terbabit di Tanjung Bungah, polis menahan tiga lelaki berumur 32 hingga 54 tahun yang merupakan pakar memproses dadah.
“Suspek ketiga berumur 32 tahun merupakan chemist (tukang proses dadah) manakala suspek pertama dan kedua masing-masing berumur 53 dan 54 tahun bertindak sebagai pembantunya.
“Pemeriksaan lanjut terhadap rumah itu turut menjumpai pelbagai jenis dadah di dalam sebuah bilik dan bahan kimia seberat 40,648 gram (g) serta peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini hari ini.
-- LAGI
POLIS- DADAH (MAKMAL) 2 GEORGE TOWN
Khaw berkata suspek keempat berumur 59 tahun yang juga koordinator ditahan di sebuah pangsapuri di Ayer Hitam manakala suspek kelima, 46, ditahan di sebuah kedai di Jalan Yeoh Guan Seok dekat George Town.
Hasil semua serbuan itu katanya, polis merampas 13,991 g pil dan serbuk ekstasi, 6,029 g syabu dan 4,997 g ketamin selain menyita dua kereta dan sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan ialah RM3.1 juta.
Khaw berkata modus operandi digunakan sindiket ialah menjadikan rumah sewa sebagai makmal dan stor menyimpan dadah dengan kadar sewa RM2,500 sebulan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
“Selain mempelajari daripada media sosial, suspek juga merupakan penagih tegar dan berpengetahuan luas, jadi sebab itu mereka dapat hasilkan dadah yang berkualiti tinggi. Mereka menerima upah 50 sen bagi sebiji pil dan boleh mendapat RM2,000 untuk sebungkus pil,” katanya yang turut memberitahu sindiket aktif menjalankan kegiatan itu sejak pertengahan tahun ini.
Beliau berkata saringan air kencing yang dilakukan mendapati empat daripada suspek positif dadah dan semua suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Khaw berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek itu pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes yang terkait dengan serbuan di stor menyimpan bekalan dadah bernilai lebih RM21 juta di Kuala Lumpur pada Ogos lepas.
Kesemua suspek katanya, direman selama tujuh hari hingga 13 Nov ini untuk membantu siasatan mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
TAG: Khaw Kok Chin, dadah, makmal, Pulau Pinang, Lembah Klang
SABA RRS HAZ
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial