Pemandu Lori Diminta Tampil Bantu Siasatan Insiden Langgar Harimau

11/11/2024 02:50 PM

IPOH, 11 Nov (Bernama) -- Polis Perak meminta pemandu lori yang dipercayai terlibat dalam insiden melanggar mati harimau belang di Kilometer 67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa pada Sabtu lepas supaya tampil bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata usaha mengesan pemandu terbabit dijalankan susulan laporan yang dibuat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). 

"Kes ini disiasat oleh pihak Perhilitan, namun kita memberi kerjasama bagi membantu siasatan, tetapi sehingga kini pemandu lori berkenaan belum membuat sebarang laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kecurian atau anggota badan yang hilang membabitkan empat batang taring, kuku pada kaki, kulit ekor dan sebahagian kulit di kepala harimau berkenaan.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata kecurian sebahagian anggota badan itu dipercayai dilakukan oleh pihak lain.

Pada 9 Nov lepas, tular video dikongsi pengguna media sosial memaparkan anggota-anggota haiwan itu yang hancur dipercayai dilanggar kenderaan.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff sebelum ini memaklumkan mereka yang telah mengambil bahagian tertentu haiwan itu boleh ditangkap dan dituduh di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan