Polis Tahan Tiga Lelaki, Rampas Dadah Lebih RM200,000

11/11/2024 03:21 PM

IPOH, 11 Nov (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah, dan merampas heroin serta ganja bernilai lebih RM200,000 dalam tiga serbuan di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 6 petang 31 Okt lepas, polis menahan seorang suspek berumur 41 tahun sekitar sini, yang membawa polis kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan St John, Rabu lepas.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis menemukan 42 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 18.9 kilogram serta dua ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 961 gram di dalam rumah berkenaan.

Zulkafli berkata seterusnya polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan dalang sindiket itu di Jalan Panglima Bukit Gangang Wahab di sini pada 1.30 tengah hari Khamis lepas, dan seorang lagi suspek berumur 45 tahun di sebuah rumah di Taman Mas di sini kira-kira setengah jam kemudian.

"Suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala ujian air kencing ke atas dua lagi lelaki mendapati kedua-duanya negatif dadah. Dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal serta barang-barang kemas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM105,680 dan siasatan mendapati sindiket berkenaan mula aktif sejak Ogos lepas.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan