SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Seorang peniaga lelaki di Gombak kerugian lebih RM1.6 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud secara dalam talian, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau berkata suspek yang memperdayakan mangsa berusia 56 tahun itu melalui WeChat telah menghantar satu pautan dan memintanya memuat turun aplikasi platform pelaburan serta menambah wang ke dalam akaun berkenaan.
“Beberapa hari selepas memindahkan wang ke dalam aplikasi platform itu, mangsa dapati pelaburan di aplikasi itu telah memperolehi keuntungan.
“Mangsa cuba mengeluarkan wang keuntungan tetapi gagal dan diberi pelbagai alasan seperti adanya bayaran cukai dan ‘fi pemindahan rentas sempadan’ bagi proses pengeluaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa juga diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan dan mangsa seterusnya melakukan 44 transaksi kepada akaun suspek melibatkan empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1.69 juta sebelum menyedari telah terpedaya apabila gagal mendapatkan keuntungan dijanjikan.
Mangsa membuat laporan polis pada Sabtu dan susulan itu, Hussein berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan skim tawaran pelaburan dalam talian dan aplikasi pelaburan serta sentiasa membuat semakan pengesahan tentang kewujudan pelaburan saham dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial