KUANTAN, 12 Nov (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang telah membuka 10,813 kertas siasatan membabitkan 11,980 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata jumlah rampasan dadah pula mencatatkan RM11.7 juta, peningkatan sebanyak RM9 juta berbanding tempoh sama pada 2023 manakala 11 sindiket dadah berjaya ditumpaskan di bawah Op Indera yang melibatkan 18 tangkapan.
"Dari segi pertuduhan untuk Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, sebanyak 638 pertuduhan telah dilaksanakan, peningkatan sebanyak 123 berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Kes jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian pula katanya, mencatatkan kerugian RM81 juta dengan 1,877 kertas siasatan dibuka berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan kerugian RM58 juta dengan 2,049 kertas siasatan dibuka.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang telah melaksanakan 1,449 tangkapan melibatkan kesalahan tipu, pinjaman wang along dan lain-lain kesalahan.
“Meneliti kepada statistik pertuduhan, sebanyak 1,412 jumlah kertas siasatan dituduh termasuk kertas siasatan yang disiasat berdasarkan laporan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) iaitu 465 pertuduhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua Ketua Polis Daerah supaya meningkatkan mutu perkhidmatan dalam langkah memudahkan urusan serta mengurangkan kerenah birokrasi dengan menerapkan elemen kepantasan, ketelusan dan ketepatan dalam melaksanakan amanah dipikul.
“Budayakan aktiviti General Roll Call di samping mengulangi peringatan-peringatan penting bagi mengelakkan perbuatan menyeleweng daripada tugas.
“Titipkan juga pesanan kepada petugas di barisan hadapan tidak kira sama ada di kaunter pertanyaan, mahupun anggota ronda agar tidak mengambil mudah terhadap sebarang aduan atau masalah yang dikendalikan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial