Polis Lepas Tembakan, Tahan Dua Lelaki Disyaki Curi Kabel TM

12/11/2024 07:19 PM

IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) selepas melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki mereka semasa cuba melarikan diri di Jalan Ulu Kenderong-Tanjung Kala, Gerik dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat kira-kira 3.40 pagi mengenai empat individu yang disyaki bertindak memotong kabel TM di Kampung Padang Kunyit, Gerik.

"Sepasukan anggota dari Balai Polis Gerik kemudiannya berjaya mengesan kenderaan jenis Perodua Axia yang dinaiki kesemua suspek dan mengarahkan mereka supaya berhenti.

“Bagaimanapun, lelaki yang memandu kereta itu bertindak memecut dan cuba melanggar kenderaan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah mempertahankan diri, polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebelah kanan kereta yang dinaiki kesemua suspek.

Zulkifli berkata bagaimanapun, dua lagi suspek lolos dan usaha mengesan mereka giat dijalankan dengan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu telah menemukan satu paket lutsinar dadah disyaki syabu.

“Dua lelaki yang ditahan itu direman tujuh hari hingga 18 Nov ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307/379 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan