Lelaki Ditemukan Lemas Ketika Keluar Mencari Siput

12/11/2024 07:19 PM

ALOR SETAR, 12 Nov (Bernama) -- Seorang nelayan ditemukan lemas berhampiran Titi Nelayan Kampung Bukit Malut, Langkawi hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata mayat Shaarani Ghazali, 32, ditemukan terapung oleh orang awam dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar hitam, lebih kurang 10 meter dari titi nelayan berkenaan.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai penemuan satu mayat lelaki yang terapung pada 10.45 pagi tadi berserta plastik berisi siput pada badan mangsa.

"Adik mangsa yang berada di lokasi kejadian telah mengesahkan identiti mangsa dan memaklumkan abangnya keluar dari rumah kira-kira 7 malam untuk mencari siput yang juga rutin harian mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurut adik mangsa, abangnya mempunyai penyakit sawan dan kali terakhir mendapatkan rawatan adalah pada 2017 di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

"Pemeriksaan awal ke atas mayat tidak menemukan sebarang kesan kecederaan berunsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematiannya. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk proses bedah siasat,” katanya.

Shariman berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan