SPRM Tahan Warga Asing Bergelar Datuk Disyaki Kemuka Butir Matan Palsu RM1.1 Juta

12/11/2024 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia bernilai kira-kira RM 1.1 juta.

Perintah reman selama enam hari hingga 17 Nov itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an yang merupakan warga Bangladesh ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota melibatkan 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.

“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan