Pemutihan Kilang Haram Dilaksanakan Di Kulai - Exco

13/11/2024 10:33 AM

ISKANDAR PUTERI, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan proses pemutihan terhadap kilang yang dipercayai beroperasi secara haram di daerah Kulai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata langkah yang dilakukan itu antaranya untuk membendung pencemaran serta pelepasan asap karbon dan pembuangan sisa ke sungai.

“Isu di Kulai ini melibatkan kilang-kilang haram yang lama dan ia bukan terletak di kawasan industri terancang. Kalau kita buat pemutihan, maksudnya kita boleh buat pengawalan (kilang haram).  Jika berlaku pencemaran seperti ini, kita boleh ambil tindakan segera,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewujudan kilang memproses tayar terpakai yang dipercayai masih beroperasi secara haram di Kulai.

Mohd Jafni berkata setakat ini, dua kilang memproses tayar terpakai telah ditutup sekali gus menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berhubung pengoperasian kilang haram bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan segera. 

Beliau pada masa sama berkata operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing turut dilakukan dengan 11 premis antaranya kedai runcit dan kedai menjual barangan elektronik telah diarahkan tutup oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) secara serta-merta semalam.

Mohd Jafni berkata kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu juga telah diarahkan untuk membuat pemeriksaan berkala dan mengambil tindakan terhadap premis-premis seumpama itu.

Pada April lepas, MPKu memaklumkan siasatan sedang dilakukan terhadap tiga kilang memproses tayar terpakai di daerah itu yang didakwa beroperasi tanpa lesen dan dikhuatiri boleh mengundang kepada pencemaran alam sekitar.

Media melaporkan tiga kilang berkenaan dipercayai menggunakan lesen berbeza berbanding aktiviti sebenar dan beroperasi secara bersembunyi bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan kawasan kilang bertutup, berkunci dan dikelilingi zink.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Smart CCTV, Mohd Jafni berkata pemasangan 1,500 Smart CCTV menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang melibatkan kawasan di empat PBT disasarkan selesai pada 2026.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 500 Smart CCTV telah siap dipasang di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (300), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (100) dan MPKu (95).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan