SIBU, 13 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas kerugian RM136,000 setelah terperdaya dengan penipuan perniagaan dalam talian, kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili.
Beliau berkata mangsa berusia 60-an dan tidak bekerja terjerat selepas menekan pautan di laman Facebook pada 9 Okt lepas yang membawa ke satu platform e-dagang menggunakan aplikasi WhatsApp.
“Mangsa ditawarkan peluang perniagaan menjual barangan kosmetik berjenama secara eksklusif dalam talian dengan syarat memberikan modal terlebih dahulu untuk meraih keuntungan.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju dan kemudian diminta memuat turun satu aplikasi untuk pengesahan jualan serta penambahan modal bagi stok barangan jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dari 13 Okt hingga 7 Nov, mangsa telah melakukan 32 transaksi pemindahan wang ke 11 akaun bank tempatan atas arahan suspek kononnya untuk menambah stok barangan .
Pada 10 Nov, mangsa diberitahu bahawa aplikasi itu telah dibekukan dan diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM70,000.
“Berasa curiga dan sedar telah ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semalam,” katanya dan menambah kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial