PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggandakan tempoh hukuman penjara ke atas dua warga Indonesia kepada lapan tahun kerana kesalahan menyeludup 25 migran keluar dari Malaysia.
Nur Bakti Ab Rahman, 53, dan Herman, 50, sebelum ini masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi, bagaimanapun panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali hari ini membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara ke atas Nur Bakti dan Herman.
Dalam keputusan sebulat suara Hakim Mohd Ruzima berkata kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua lelaki berkenaan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan Malaysia.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim Datuk Azmi Ariffin itu memerintahkan kedua-dua warga Indonesia berkenaan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 9 Okt 2023.
Kedua-dua lelaki itu telah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas kesalahan berkenaan, yang dilakukan di Pantai Pulau Carey, Telok Panglima Garang, Selangor pada 1 pagi 9 Okt tahun lepas, bersama seorang lagi rakan yang masih bebas.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Pada 29 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas mereka, berkuat kuasa dari tarikh penangkapan.
Siasatan polis mendedahkan bot berkenaan yang membawa 13 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang kesemuanya warga Indonesia, cuba meninggalkan Malaysia menuju Republik itu melalui laluan laut yang tidak berdaftar.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah bahawa hukuman asal penjara empat tahun adalah terlalu ringan.
Beliau berkata hukuman itu tidak mencerminkan hasrat Parlimen untuk mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan penyeludupan migran.
Beliau menegaskan penyeludupan migran, sama ada ke dalam atau keluar dari Malaysia, menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara dengan melanggar sempadannya.
How turut menekankan Nur Bakti dan Herman telah membahayakan keselamatan para migran yang menaiki bot dalam kegelapan tanpa jaket keselamatan, semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.
Kedua-dua Nur Bakti dan Herman, yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah untuk hukuman yang lebih ringan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial