KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas kerana disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu dan penipuan bernilai kira-kira RM2 juta, semalam.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 6 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Suspek disyaki terlibat dan bersubahat untuk memohon serta meluluskan tuntutan palsu syarikat kenalan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta menyeleweng wang syarikat dengan memberikan maklumat dalaman kepada syarikat kenalan tersebut mengenai harga pembida syarikat lain.
“Suspek juga dipercayai telah menipu syarikat tempat dia bekerja dengan menyalurkan maklumat mengenai keperluan perolehan kerja-kerja pembaikan mesin pengeluaran barangan asas yang melibatkan jumlah kira-kira RM2 juta,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu menyebut siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada 2019 sehingga tahun ini dan dia kini direman empat hari selepas Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial