KPDN Sita 1,725 Liter Minyak Diesel Cuba Diseleweng

14/11/2024 11:43 AM

IPOH, 14 Nov (Bernama) -- Petugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 1,725 liter minyak diesel yang cuba diseleweng dalam satu serbuan di sebuah premis melombong pasir di Jalan Gopeng Batu 3, Batu Gajah, dekat sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan sekitar pukul 7.30 pagi itu pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 28 dan 41 tahun yang disyaki pemandu lori dan pemilik premis berkenaan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata serbuan dijalankan oleh anggota penguat kuasa yang membuat risikan di kawasan tersebut sejak dua minggu lepas hasil maklumat awam, dan turut disita dalam serbuan itu ialah sebuah lori dan beberapa peralatan lain, yang nilainya semuanya berjumlah RM58,577.

“Kita syak kegiatan ini dilakukan oleh sebilangan pemandu lori yang menjual minyak subsidi itu secara haram pada harga RM2 seliter kepada satu sindiket yang aktif melakukan kegiatan ini sejak sebulan lepas. Pihak sindiket pula kemudiannya akan menjual kepada syarikat pelombong pasir di premis itu pada harga RM2.80 seliter untuk kegunaan jentera melombong pasir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata kes itu akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan