Kastam Kelantan Rampas Rokok Seludup Bernilai Hampir RM4.2 Juta

14/11/2024 04:57 PM

KOTA BHARU, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Kelantan merampas lebih 6.2 juta batang rokok putih bernilai hampir RM4.2 juta dalam dua lokasi berasingan minggu lepas.

Pengarah berkenaan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan pertama dilakukan pihaknya pada 4 Nov lepas bersama Kastam Zon Tengah Unit II (Selangor) dengan menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor dan telah menemui enam juta batang rokok putih bernilai lebih RM4 juta.

Wan Jamal Abdul Salam berkata taktik digunakan sindiket adalah dengan mengikrar barangan dagangan dalam dokumen perkapalan sebagai maklumat Port Of Discharge di Pelabuhan Klang menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo.

“Rampasan rokok bagi kes pertama ini disyaki datang dari Kemboja dan dibawa menerusi jalan laut sebelum berhenti di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang untuk transit. 

"Rokok berkenaan dipercayai diimport dari Sri Lanka memandangkan rokok jenis itu tiada dalam pasaran kita," katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Kastam Kelantan di sini hari ini.

Seterusnya beliau berkata rokok putih itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengimportan untuk membuktikan cukai atau duti telah dibayar, bagaimanapun kes berkenaan masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dilakukan.

Sementara itu, bagi rampasan kedua pada 10 Nov lepas, beliau menyatakan pihaknya turut menahan tiga van pada 11.30 pagi di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu dan menemui 254,800 batang rokok bernilai RM172,352.40.

 “Rokok berkenaan disyaki dibawa masuk dari luar melalui jalan darat menggunakan lori untuk pasaran Pantai Timur khususnya Kelantan melibatkan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 47 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(a) dan 135(e) Akta Kastam 1967 yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar, dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan