Penganggur Bunuh Adik, Ibu Saudara, Dihukum Penjara 35 Tahun, 24 Sebatan

14/11/2024 07:01 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun kepada seorang penganggur kerana membunuh adik lelaki dan ibu saudaranya pada 2016.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin turut mengarahkan Azman Wahab, 40, dikenakan 24 sebatan.

Mahkamah menjatuhi Azman 35 tahun penjara bagi setiap pertuduhan bunuh itu dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak dan dia dikenakan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Azman sebelum ini disabitkan Mahkamah Tinggi pada 25 Ogos, 2022 atas pertuduhan menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaaan dan dijatuhkan penjara 16 tahun. 

Bagaimanapun, hari ini, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Azman atas pertuduhan bunuh yang asal.

Hakim Che Mohd Ruzima ketika menyampaikan keputusan mahkamah, berkata terdapat merit dalam rayuan pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata terdapat salah arah oleh Mahkamah Tinggi dalam mempertimbangkan pembelaan Azman yang berdasarkan dakwaan ketidaksempurnaan akal ketika itu. Beliau berkata pendakwaan berjaya membuktikan suatu keraguan munasabah bahawa Azman telah melakukan pembunuhan. 

Azman disabitkan membunuh adik lelakinya berusia 26 tahun, Muhammad Azwan, di ruang tamu rumah mereka di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling, Kedah pada 11 pagi, 2 Okt, 2016. Dia turut didapati bersalah membunuh Rokiah Abdullah, 54, di luar rumah sama pada 11.10 pagi, hari yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah pembunuhan itu disengajakan dan kecederaan parah dan pelbagai yang dialami oleh kedua-dua si mati tidak menyokong dakwaan bahawa ia dilakukan oleh seseorang yang tidak dapat membezakan bahawa perbuatan itu suatu kesalahan.

Beliau berkata Azman memukul adiknya, yang lumpuh akibat kemalangan, pada kepala dengan batang pokok rambutan, sebelum cuba memukulnya dengan sebatang besi. Beliau berkata Azman pergi ke dapur dan mengambil pemarut kelapa dan berulang kali memukul adiknya semula.

Ng berhujah Azman membaling seketul bata ke arah muka Rokiah dan apabila Rokiah terjatuh, dia mengambil bata itu semula dan membaling bata ke arah Rokiah sekali lagi, menyebabkan Rokiah tidak sedarkan diri.

Ng berkata berdasarkan laporan bedah siasat, boleh dikatakan bahawa kepala dan muka Muhammad Azwan hancur manakala kecederaan Rokiah disifatkan serupa dengan buah kelapa yang hampir terbelah dua.

Peguam Rafidi Mohamad mewakili Azman berhujah bahawa Azman tidak berniat untuk membunuh kedua-dua si mati, menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi adalah betul dalam memutuskan bahawa serangan ke atas kedua-dua si mati adalah secara spontan tanpa sebarang persediaan dan kesedaran untuk mengetahui bahawa senjata yang diambil anak guamnya boleh menyebabkan kematian. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan