Tembok Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand Bantu PGA Kekang Jenayah - KPN

15/11/2024 01:34 PM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KOTA BHARU, 15 Nov (Bernama) -- Pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang akan membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam mengekang pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan yang memudaratkan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pembinaan tembok keselamatan di kawasan sempadan sebagaimana dicadangkan, bakal memudahkan penugasan anggota PGA dalam mengawal sempadan.

"Saya tidak menafikan isu seperti penyeludupan dadah, senjata api, minyak dan bahan mentah dapat dikurangkan jika tembok keselamatan itu dibina dan membantu penugasan PGA dengan lebih mudah.

"Seperti sekarang PGA ada banyak pos yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand daripada jenayah rentas sempadan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Razarudin berkata pembinaan tembok keselamatan di kawasan sempadan itu memerlukan peruntukan yang besar, selain perlu menyelesaikan isu pemilikan tanah persendirian di situ terlebih dahulu sebelum tembok keselamatan  boleh dibina.

"Isu peruntukan juga perlu difikirkan kerana ia memerlukan kos yang besar dan kebanyakan tanah di sana (Rantau Panjang) berhampiran Sungai Golok tidak mempunyai buffer zone (zon penampang) dan perkara itu menyukarkan pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata sekiranya pembinaan tembok keselamatan berkenaan dilaksanakan ia akan mengambil tempoh yang panjang untuk siap.

Semalam, kerajaan Thailand menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengusulkan kepada kerajaan pusat tentang pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham dilaporkan berkata pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.

Pada 5 Nov lepas, kerajaan Kelantan merancang untuk mengusulkan kepada kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand.

Usaha ini dianggap penting untuk menangani masalah jenayah penyeludupan serta mengurangkan risiko banjir yang berulang.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok masih dalam peringkat cadangan.

Beliau berkata kerajaan tidak berpeluk tubuh soal isu keselamatan di sempadan negara.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan, beliau berkata pihaknya sering membincangkan perkara itu, namun autoriti terakhir adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan