BUKIT MERTAJAM, 17 Nov (Bernama) -- Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Bukit Tengah pada Rabu lepas akan didakwa di Mahkamah Bukit Mertajam di sini esok.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris ketika dihubungi Bernama mengesahkan lelaki berusia 51 tahun itu akan didakwa esok selepas tamat reman hari ini.
"Lelaki itu yang ditahan selepas kemalangan tersebut direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh daripada sebuah treler dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah di sini.
Mangsa yang maut, Lee Zi Rou, 21, memandu kereta Perodua Bezza manakala Tan Chou Theng, 25, yang cedera parah adalah pemandu Honda Jazz.
Kemalangan pada 9.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika lima kereta dan sebuah lori dari Jalan Kebun Sirih sedang berhenti di lampu isyarat simpang tiga Jalan Bukit Tengah sebelum sebuah treler kontena dari Jalan Bukit Tengah tiba-tiba membelok ke kiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial