Rasuah RM2.8 Juta: Kronologi Kes Bung Moktar, Zizie Izette

18/11/2024 04:09 PM

PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk pasangan terbabit membela diri.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan suami isteri berkenaan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Sept 2023.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

3 Mei 2019: Bung Moktar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta manakala pelakon Zizie Izette pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya.

4 Julai 2019: Pendakwaan mohon pindah kes rasuah Bung Moktar dan Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

9 Ogos 2019: Mahkmah Tinggi tolak permohonan pendakwaan untuk pindah kes rasuah Bung Moktar dan Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi.

2 Jan 2020: Perbicaraan hari pertama kes Bung Moktar dan Zizie Izette di Mahkamah Sesyen.

17 Mei 2022: Pendakwaan tutup kes selepas memanggil 30 saksi pendakwaan dan tetapkan hujahan lisan.

24 Jun 2022: Mahkamah Sesyen menetapkan 2 Sept 2022 untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

2 Sept 2022: Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri.

19 Sept 2022: Bung Moktar dan Zizie Izette fail permohonan di Mahkamah Tinggi untuk semak keputusan Mahkamah Sesyen yang perintahkan mereka membela diri.

23 Sept 2022: Mahkamah Tinggi benar permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette tangguh perbicaraan bela diri sementara menunggu semakan diputuskan oleh mahkamah.

9 Dis 2022: Mahkamah Tinggi tolak permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk semak keputusan Mahkamah Sesyen yang perintahkan mereka membela diri.

12 Dis 2022: Bung Moktar dan Zizie Izette fail rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka semak keputusan Mahkamah Sesyen perintahkan mereka bela diri.

3 Jan 2023: Mahkamah Tinggi sekali lagi benarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menggantung perbicaraan membela diri.

7 Julai 2023: Mahkamah Rayuan kembalikan semula permohonan semakan difailkan Bung Moktar dan Zizie Izette ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit permohonan itu.

7 Sept 2023: Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada tiga pertuduhan rasuah dihadapi mereka.

15 Sept 2023: Pendakwaan fail rayuan berhubung pembebasan pasangan suami isteri itu ke Mahkamah Rayuan.

3 Mei 2024: Pendakwaan kemuka tujuh alasan dalam petisyen rayuan.

29 Julai 2024: Pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Bung Moktar dan Zizie Izette ditangguh ke 9 Okt lepas.

9 Okt 2024: Mahkamah Rayuan tetapkan 18 Nov (hari ini) untuk keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Bung Moktar dan Zizie Izette selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan