Bedah Siasat Wanita Ditemukan Dalam Peti Sejuk Perlu Lebih Masa - Polis

18/11/2024 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Proses bedah siasat ke atas mayat seorang wanita yang ditemukan dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG, di sini, masih diteruskan berikutan pasukan forensik memerlukan lebih masa membuat penilaian terhadap organ dalaman jasad yang dinyahbeku.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti (PPUM) perlu membuat penelitian susulan jasad wanita itu dipercayai berada dalam keadaan beku selama tiga tahun.

Beliau tidak menolak kemungkinan reman terhadap suspek berusia 53 tahun yang juga anak lelaki kepada wanita itu yang berakhir esok, akan disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tahap kesihatan suspek yang turut sedang dirawat di PPUM belum pulih 100 peratus dan doktor memerlukan lebih masa membuat penilaian kesihatannya.

“Lima saksi terdiri daripada jiran-jiran dan anggota polis yang pertama menerima maklumat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Pada 12 Nov lepas, polis menahan seorang lelaki susulan penemuan mayat seorang wanita dalam peti sejuk di sebuah rumah di Taman OUG dekat sini pada 8.45 pagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan