PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Seorang lagi hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas.
Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa beliau telah diarahkan oleh anak guamnya untuk meminta supaya Hakim Datuk Faizah Jamaludin menarik diri.
Ini adalah kali kedua pendengaran rayuan Najib ditangguhkan kerana hakim menarik diri. Pada 4 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Azizah Nawawi juga telah menarik diri kerana peranan suaminya sebelum ini sebagai ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan di Jabatan Peguam Negara ketika Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara.
Dalam prosiding hari ini Firoz memberitahu mahkamah bahawa suami Faizah, Datuk Mohammad Faiz Azmi ialah pengerusi eksekutif PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) dan terlibat dengan pemulihan aset dan pengurusan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Mohammad Faiz sebelum in dilaporkan telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa eksekutif (exco) oleh 1MDB pada 2018, sebagai sebahagian daripada perkhidmatan yang dibekalkan PwC kepada syarikat itu.
Firoz juga berkata bahawa beliau sendiri (Firoz Hussein), peguam Thomas Alan Adrian Gomez dan Faizah, pernah bekerja untuk Thomas sekitar tahun 1990-an.
Gomez pula berkata beliau tidak dapat melihat bagaimana pemulihan aset 1MDB dan pengurusan hutang syarikat itu relevan sekiranya terdapat budi bicara responden atau tidak rasponden (Thomas) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah wajar, dan sama ada terdapat penyelewengan dalam jawatan awam atau kecuaian.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa keadilan mesti dilihat untuk dilaksanakan.
Hakim Faizah berkata beliau merasakan demi keadilan, adalah lebih baik baginya untuk tidak mendengar rayuan berkenaan, oleh itu beliau menarik diri. Beliau turut menjelaskan bahawa suaminya telah bersara daripada jawatan itu setahun yang lepas.
Hakim Hashim kemudian memberitahu Najib bahawa perbicaraan itu ditangguhkan, dan kemudian menetapkan 3 Dis untuk pengurusan kes bagi rayuan itu.
Hakim Datuk Azmi Ariffin ialah seorang lagi hakim yang bersidang bersama Hashim dan Faizah hari ini.
Najib sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Nov 2022 yang mengetepikan samannya terhadap Thomas. Dalam samannya beliau mendakwa Thomas melakukan penyelewengan dalam jawatan awam apabila mendakwa beliau dalam kes berhubung 1MDB.
Najib menyaman Thomas, mendakwa beliau (Najib) telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Thomas adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018, hingga 28 Feb 2020.
Beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial