KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin daripada pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta itu termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.
"Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan.
“Mahkamah juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga arwah ditempatkan bersama para solihin,” kata Azura.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak lagi meneruskan prosiding terhadap Daim susulan kematiannya.
"Pihak pendakwaan dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah tidak berniat untuk meneruskan prosiding ke atas beliau dan kami serahkan kepada budi bicara mahkamah.
"Kami tidak akan meneruskan prosiding ke atas Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia, namun kami ada menerima surat daripada Tetuan Raj & Sach, iaitu mereka membantah untuk memberhentikan prosiding ini," kata Wan Shaharuddin.
Wan Shaharuddin berkata kuasa untuk meneruskan kes terletak pada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Apabila ada pertuduhan, maka perlu ada pihak yang dituduh," katanya.
Daim meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta, di sini pada 13 Nov lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial