UMNO, UMNO Selangor Diberi Tempoh Lanjutan Selesaikan Saman RM19.5 Juta SRC

20/11/2024 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi memberikan lanjutan masa selama seminggu kepada UMNO dan UMNO Selangor untuk mengemas kini kepada mahkamah mengenai penyelesaian saman yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya berhubung dakwaan menerima RM19.5 juta daripada syarikat-syarikat itu pada 2015.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO, dan Datuk Hasnal Rezua Merican, yang mewakili UMNO Selangor.

Perkara ini tidak dibantah oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili plaintif (SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd).

“Seperti yang kami maklumkan kepada Yang Arif, rundingan penyelesaian sedang dijalankan dan kami memohon beberapa hari lagi sehingga 27 Nov,” kata Razlan.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Nov bagi pihak-pihak berkenaan untuk mengemas kini status penyelesaian.

Plaintif memfailkan dua saman itu pada Mei 2021, dengan yang pertama ialah mendapatkan semula RM16 juta yang dikatakan dipindahkan kepada UMNO.

Ketiga-tiga mereka (plaintif) mendakwa bahawa UMNO tahu, atau sepatutnya tahu, bahawa wang itu adalah milik SRC, dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.

Saman kedua merujuk kepada usaha mendapatkan semula RM3.5 juta daripada UMNO Selangor, jumlah yang mereka dakwa telah diterima secara salah oleh parti itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan