MTL: 15,000 Penduduk Sekitar Chukai Berisiko Jadi Mangsa Banjir - Polis

20/11/2024 07:30 PM

CHUKAI, 20 Nov (Bernama) -- Polis menjangkakan sehingga 15,000 penduduk di sekitar Chukai, Kemaman berisiko menjadi mangsa banjir sekiranya hujan lebat berterusan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) kali ini. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin bagaimanapun berkata sebanyak 82 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman sedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa sahaja dan ia mampu menampung sehingga 40,000 mangsa. 

"Jumlah mangsa itu adalah mungkin apabila berlakunya pertembungan antara hujan lebat dan kenaikan air pasang. Kalau ikut ramalan hujan lebat berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kita jangkakan akan banjir lagi di Chukai, kalau taburan hujan tinggi macam semalam.

"Tapi dengan bilangan PPS yang kita ada, saya kira tiada masalah. Insya-Allah terkawal, tetapi yang penting mereka kena pindah ke PPS lah," katanya ketika ditemui media sewaktu melawat kawasan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang terjejas banjir di sini hari ini. 

Pada masa sama, Mohd Khairi berkata situasi banjir di negeri itu masih terkawal dengan hanya dua daerah yang masih terjejas iaitu Kemaman dan Marang sehingga petang ini.

Mengikut data oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 2,545 mangsa daripada 637 keluarga kini menghuni di enam PPS dengan Kemaman mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,532 mangsa manakala Marang berbaki hanya 13 mangsa.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan kematian seorang warga emas dikenali sebagai Chik Mamat, 76, yang ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan lopak air dalam ladang sawit di Jerangau Barat, Ajil, Kuala Berang pagi tadi, bukan berkait dengan bencana banjir. 

"Kita klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), kematian biasa. Ia berlaku bukan di kawasan banjir, bukan mangsa banjir," katanya sambil menasihati individu dewasa terutama warga emas untuk mengelakkan sebarang aktiviti berisiko sepanjang MTL ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan lelaki tempatan yang bekerja sebagai peneroka itu ditemukan lemas oleh orang awam dalam lopak air di belakang kilang sawit pada pukul 9.40 pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan