Suami Isteri Didakwa Edar 51.9 Kg Dadah

22/11/2024 10:49 AM

SLIM RIVER, 22 Nov (Bernama) -- Sepasang suami isteri dan seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 51.974 kilogram pada 11 Nov lepas.

Mohammad Amirul Samsudin, 27, dan isteri Zaharah Farhana Zamri, 26, serta rakan mereka Muhammad Firdaus Nazeri, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret G Phulrani Kaur.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa mengedar 51.974 gram dadah jenis methamphetamine di parkir sebuah Pusat Perniagaan Slim Perdana, Jalan Perdana dalam daerah Mualim pada 3.35 petang 11 Nov lepas.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah dihukum sebatan tidak kurang 12 kali. 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 24 Jan tahun depan sebagai tarikh serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Pada 14 Nov lepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Perak dan Perlis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri di kawasan tempat letak kereta di sebuah Pusat Perniagaan Slim Perdana. 

Ketiga-tiga individu berkenaan berperanan sebagai transporter (penghantar) dan polis mendapati 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam beg pakaian yang diletakkan di but sebuah kenderaan. 

Modus operandi sindiket itu dengan menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran dan diedarkan untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang menggunakan jalan darat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan