Bomba Perak Giat Cari Lelaki Orang Asli Hilang Ketika Memancing

22/11/2024 01:23 PM

IPOH, 22 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang giat mencari seorang lelaki Orang Asli yang dipercayai hilang selepas keluar memancing di Sungai Tumboh, Kampung Gajah, dekat sini sejak petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata gerakan mencari Iswandi Isa, 42, ketika ini membabitkan 16 petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dan Kampung Gajah, serta polis dan penduduk setempat.

Beliau berkata pihak bomba yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan pihak polis berkaitan kehilangan lelaki itu sekitar pukul 1.05 pagi tadi telah menemukan motosikal serta joran milik lelaki itu.

“Pencarian di kawasan sekitar juga telah dilakukan, namun terpaksa dihentikan selepas beberapa jam akibat cuaca buruk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sabarodzi berkata operasi pencarian yang disambung semula 7 pagi tadi akan tertumpu di sepanjang sungai berkenaan, menggunakan dua buah bot milik JBPM Perak dan polis.

“Kita syak lelaki itu mungkin terjatuh ke dalam sungai, dan bagi melancarkan operasi kita akan gunakan kaedah rondaan serta selaman di dasar sungai. Kita harap operasi hari ini berjalan lancar,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan