Maritim Selangor Tahan Dua Bot, 11 Kru Warga Asing Langgar Syarat Sah Lesen

22/11/2024 07:09 PM

SHAH ALAM, 22 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua bot nelayan tempatan kelas C bersama 11 kru warga asing kerana melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan Tanjung Sauh, Sabak Bernam, semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot bersama kru warga asing itu ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira 15 batu nautika dari daratan.

Beliau berkata bot pertama, yang dikendalikan seorang tekong bersama lima kru warga Myanmar, ditahan sekitar 3.35 petang, manakala bot kedua yang dikendalikan oleh tekong serta empat kru, warga Myanmar ditahan lebih kurang dua jam kemudian, iaitu sekitar 10.5 batu nautika barat daya Tanjung Sauh.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua vesel berdaftar di Perak, dan kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia ketika diminta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua vesel serta kesemua kru yang berumur antara 19 hingga 40 tahun dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah, Klang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang 15 batu nautika dari pantai dan di luar perairan negeri Perak serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan