Tiga Lelaki Didakwa Rompak Warga China Guna Pisau

25/11/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki warga China bersenjatakan sebilah pisau, dua minggu lepas.

N. Tamilselvan, 33, S. Krishnna, 24, dan Muhamad Hafizam Shahadan, 23, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu terhadap Zhad Wenzhuang dengan merompak dua jenis AirPod berjenama Samsung dan Apple serta dua telefon bimbit berjenama Samsung dan iPhone 15 Pro di hadapan Lorong Petron, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini pada 11 pagi, 11 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan.  

Peguam AP Chandra yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan kesemua anak guamnya tidak bekerja.

Hakim Egusra Ali membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 24 Dis ini untuk sebutan kes. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan