Kastam Rampas Beras, Minuman Keras Seludup Bernilai Lebih RM2.09 Juta Dalam Tiga Serbuan

27/11/2024 07:48 PM

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan tiga kegiatan penyeludupan beras dan minuman keras dengan nilai keseluruhan bernilai lebih RM2.09 juta dalam serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur pada September dan Oktober lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata pihaknya turut menahan lima individu yang berperanan sebagai ejen, penjaga gudang dan pemandu lori menerusi serbuan hasil risikan pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 selama sebulan.

Beliau berkata rampasan pertama membabitkan 15,390 kilogram beras bernilai RM227,000 dengan cukai dan duti berjumlah RM91,000 dipercayai dibawa masuk dari India untuk pasaran tempatan.

“Serbuan itu dilakukan pada 30 Sept lepas hasil pemeriksaan terhadap kontena di Pelabuhan Klang, Selangor yang membawa kepada penemuan sejumlah muatan produk makanan.

“Modus operandi mereka ialah membuat pengikraran yang tidak benar iaitu ‘Assorted Food Bag’ di Borang Kastam 1 bagi mengelak mengemukakan lesen import semasa pengimportan, dengan sengaja meletakkan dagangan beras di bahagian belakang muatan kontena bersama barangan makanan yang lain,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Norlela berkata serbuan kedua dan ketiga membabitkan rampasan minuman keras pelbagai jenama  pada Oktober lepas di premis perniagaan di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur dan sebuah gudang di kawasan perindustrian di Balakong Jaya, Selangor.

Beliau berkata kedua-dua serbuan itu membabitkan rampasan lebih 30,000 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM300,000 dengan cukai dan duti kira-kira RM1.48 juta serta kesemua kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan