Guru Lelaki Dicekup Disyaki Edar Ganja

28/11/2024 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Seorang guru lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 6.45 petang semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menjumpai dadah disyaki ganja yang dianggarkan seberat 0.21 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM6,300.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja. Suspek merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Petaling Jaya dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah membenarkan tahanan reman ke atas suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini hingga 1 Dis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Shahrulnizam turut menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah agar menyalurkannya ke mana-mana balai berdekatan atau terus menghubungi talian hotline bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2267.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan